Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam sekali lagi menjadi perhatian negara apabila lima pegawai kanan tentera diberkas minggu lalu kerana didakwa membocorkan maklumat kawalan keselamatan sempadan kepada sindiket penyeludupan dadah.
Penahanan ini mengejutkan masyarakat dan mencetuskan kebimbangan terhadap tahap integriti pegawai keselamatan negara. Apabila maklumat pertahanan dijual kepada pihak jenayah, keselamatan negara terdedah kepada ancaman yang jauh lebih serius daripada sekadar kerugian ekonomi.
Perkara ini bukanlah kes terpencil. Sebelum ini, pihak berkuasa pernah melancarkan operasi khas terhadap jabatan imigresen dalam kes Counter Setting yang membabitkan pegawai di pintu masuk negara, diikuti tindakan tegas terhadap puluhan pegawai kastam yang didapati bersekongkol dengan penyeludup.
Corak penahanan ini menunjukkan wujud jaringan rasuah yang berulang, merentas pelbagai agensi penguat kuasa.
Rasuah bukan sekadar salah laku individu tetapi gejala sistemik yang meruntuhkan kepercayaan rakyat dan mengancam kedaulatan negara.
Apabila pegawai yang diamanahkan menjaga keselamatan sanggup menjual maklumat strategik, negara berisiko berdepan kebocoran pertahanan, lonjakan jenayah rentas sempadan dan keruntuhan kawalan undang-undang.
Tidak mustahil maklumat keselamatan negara yang dijual oleh pegawai kanan tentera itu pula dijual kepada musuh-musuh luar yang bakal membawa mudarat yang lebih serius.
Oleh itu, langkah pencegahan perlu dipertingkatkan dengan pemantauan berteknologi tinggi, audit bebas yang berterusan serta hukuman berat bagi menghantar mesej jelas bahawa pengkhianatan tidak akan dimaafkan.
Pendidikan integriti dan budaya menolak rasuah juga mesti diperkukuhkan bukan hanya sejak peringkat awal perkhidmatan tetapi diberi penekanan serius di alam persekolahan lagi.
Ini kerana gejala rasuah harus dibanteras sebelum bercambah di peringkat awal dan menjadi darah daging segelintir manusia yang tamak.
Kerajaan dan rakyat tidak boleh memandang ringan isu ini. Rasuah yang membabitkan keselamatan negara adalah pengkhianatan tertinggi yang tidak boleh dikompromi.
Tindakan pantas dan tegas ke atas semua pihak terlibat adalah syarat mutlak untuk memastikan benteng keselamatan negara kekal kukuh.