RUU pekerja gig tidak bebankan pengguna – GEM

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 25 Ogos 2025. (Gambar kecil: Jose Rizal)

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin bukan bertujuan membebankan pengguna, sebaliknya menstabilkan industri gig dan melindungi lebih 1.2 juta pekerja sektor berkenaan.

Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, harga perkhidmatan dalam sektor gig tetap akan ditentukan oleh faktor pasaran dan persaingan antara platform, bukan kerana pelaksanaan RUU itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perubahan sebenar adalah pada sistem pekerjaan yang kini menjadi lebih adil dan telus apabila pekerja gig diberikan perlindungan undang-undang manakala pengguna menikmati jaminan kualiti perkhidmatan.

“RUU ini tidak akan menaikkan harga secara paksa. Sebaliknya, ia memastikan pekerja gig mendapat perlindungan sewajarnya dan hasilnya pelanggan juga menerima perkhidmatan lebih baik serta profesional,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, antara manfaat utama yang dapat dirasai pengguna adalah perkhidmatan lebih selamat kerana pekerja gig dilindungi skim perlindungan sosial, insurans dan latihan yang disediakan kerajaan.

Selain itu, katanya, kestabilan perkhidmatan juga lebih terjamin apabila risiko gangguan akibat mogok kecil atau tindakan penyahaktifan akaun tanpa sebab dapat dielakkan melalui tribunal penyelesaian pertikaian yang digariskan dalam RUU.

Iklan

“RUU ini juga menekankan prinsip etika dan ketelusan. Apabila pekerja dilayan secara adil, mereka juga akan lebih komited dan profesional terhadap pelanggan,” ujarnya.

Jose Rizal menegaskan, pengguna akan mendapat nilai tambah apabila harga perkhidmatan kekal kompetitif, tetapi dengan jaminan keselamatan, etika dan keberkesanan yang lebih kukuh.

Katanya, GEM menyokong penuh usaha kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang membentangkan RUU tersebut selepas lebih 37 sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pekerja gig, penyedia platform, kesatuan dan agensi kerajaan.

Beliau yakin penggubalan RUU itu meletakkan Malaysia sebaris dengan 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig, sekali gus mengangkat imej negara di persada antarabangsa.