Kejohanan Dunia: Wei Chong–Kai Wun tempah tiket pusingan ketiga

Iklan
Wei Chong–Kai Wun dipaksa bekerja keras sebelum mara pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Paris.

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun dipaksa berhempas pulas sebelum menempah slot ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Adidas Arena, Paris pada Rabu.

Pasangan pilihan ketujuh itu bermula garang apabila mudah menundukkan gandingan tuan rumah, Christo Popov–Toma Junior Popov, 21-15 pada set pertama.

Iklan
Iklan

Namun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila beregu Perancis yang menghuni ranking ke-19 dunia bangkit memanfaatkan sorakan padu penyokong sendiri untuk meraih kemenangan 21-13 pada set kedua.

Set penentuan berlangsung penuh dramatik apabila Man–Tee ketinggalan 11-16 sebelum mengerah segala pengalaman dan ketahanan mental untuk bangkit menoktahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 65 minit pertarungan sengit.

Iklan

“Mereka bermain sangat baik, terutama ketika bertahan. Kami tidak boleh menang mudah hanya dengan satu atau dua pukulan, sebaliknya terpaksa bersedia melayan rali panjang. Itu yang menjadikan perlawanan lebih sukar,” ujar Wei Chong yang mengakui sorakan penyokong tempatan menjadi pembakar semangat lawan mereka.

Kemenangan tersebut membolehkan Man–Tee bakal berdepan beregu England, Sean Vendy–Ben Lane, yang sebelum itu menyingkirkan gandingan Korea Selatan, Kim Gi-jung–Kim Sa-rang, 21-18, 21-16 bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Iklan

Selain aksi Wei Chong–Kai Wun, pusingan kedua Rabu turut menyaksikan perseorangan lelaki, Leong Jun Hao menentang pemain nombor 14 dunia, Kenta Nishimoto dari Jepun.

Beregu wanita, Go Pei Kee–Teoh Mei Xing (ranking 16 dunia) akan menentang pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva–Stefani Stoeva.

Perseorangan wanita, K. Letshanaa Karupathevan berdepan jagoan India, P.V. Sindhu (ranking 15 dunia).

Beregu campuran, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin (ranking 15 dunia) akan menentang wakil Jerman, Malik Bourakkadi–Leona Michalski.

Beregu lelaki, Arif Junaidi–Yap Roy King pula menentang pasangan nombor 12 dunia dari Thailand, Kittinupong Kedren–Dechapol Puavaranukroh.

Beregu campuran, Goh Soon Huat–Shevon Lai yang merupakan pilihan keenam, akan menentang wakil Thailand, P. Teeraratsakul–Phataimas Muenwong.

Beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah selaku pilihan kedua menentang wakil Hong Kong, Lui Lok Lok–Tsang Hiu Yan.

Beregu lelaki, Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang juga pilihan kedua menentang pasangan Scotland, Christopher Grimley–Matthew Grimley.

Beregu campuran pilihan keempat, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei pula menentang gandingan India, Rohan Kapoor–Ruthvika S. Gadde.

Perlawanan terakhir wakil negara menyaksikan beregu lelaki, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani selaku pilihan ketiga menentang pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith.