China mesti bekal magnet nadir bumi kepada AS atau berdepan tarif 200 peratus - Trump

Iklan
Donald Trump

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 200 peratus terhadap import dari China sekiranya Beijing gagal memastikan bekalan magnet nadir bumi yang boleh diharapkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bercakap di Rumah Putih pada Isnin semasa pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, Trump berkata:"Mereka perlu membekalkan kami magnet. Jika mereka tidak berikan magnet, maka kami perlu mengenakan tarif 200 peratus atau sesuatu.”

Iklan
Iklan

Beliau mengakui bahawa langkah drastik itu secara efektif akan menghentikan perdagangan dengan China, namun menegaskan ia boleh diterima jika perlu.

Nadir bumi merupakan logam penting dalam teknologi moden termasuk telefon pintar, turbin angin, kenderaan elektrik dan peralatan ketenteraan, dengan magnet menjadi komponen yang sangat kritikal.

Iklan

China kini peneraju dunia dalam pengeluaran dan pemprosesan logam nadir bumi, manakala AS masih bergantung pada import. Beijing sebelum ini telah mengehadkan eksport logam serta magnet nadir bumi di tengah-tengah konflik perdagangan.

Kenyataan terbaharu Trump itu berbeza dengan nada lebih berkomprominya pada awal Ogos, apabila beliau mengumumkan lanjutan 90 hari bagi gencatan perdagangan dengan China.

Iklan

Pada Mei lepas, kedua-dua negara bersetuju menangguhkan langkah punitif baharu bagi meneruskan rundingan berhubung perdagangan, bekalan nadir bumi dan akses cip kecerdasan buatan (AI).

Menurut Wall Street Journal, delegasi China yang diketuai perunding Li Chenggang dijangka berada di Washington minggu ini untuk mengadakan rundingan lanjut. - Bernama