PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan audit keselamatan sekolah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan aspek kawalan di kawasan sekolah dan asrama dapat diperkukuhkan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, Ketua Jemaah Nazir telah digerakkan untuk melaksanakan audit berkenaan di seluruh negara.
Menurutnya, hasil audit keselamatan itu akan dilaporkan kepadanya setiap minggu sebelum dibawa kepada Menteri Pendidikan untuk penelitian serta tindakan lanjut.
“Daripada dapatan audit itu, laporan hendaklah dikemukakan kepada saya setiap minggu untuk dibawa kepada menteri dan diperincikan tindakan yang perlu diambil,” katanya pada sidang akhbar di KPM di sini pada Isnin.
Beliau berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif yang diambil susulan kejadian seorang murid dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Dr Mohd Azam menjelaskan, audit tersebut dilaksanakan bagi menilai keadaan sekolah secara menyeluruh termasuk asrama, bukan hanya menumpukan kepada satu aspek tertentu.
“Dengan usaha ini, insya-ALLAH kita dapat memperkukuhkan aspek keselamatan sekolah dan asrama khususnya demi keselamatan anak-anak kita serta seluruh warga sekolah,” ujarnya.
Katanya lagi, audit itu turut melibatkan lawatan mengejut ke sekolah dan asrama bagi memastikan pihak pengurusan sentiasa peka serta tidak mengambil mudah aspek keselamatan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah sebagai langkah segera memperkukuhkan kawalan keselamatan di semua institusi pendidikan.
Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, jawatankuasa khas tersebut akan membuat semakan semula terhadap garis panduan keselamatan sekolah dan asrama, selain meneliti prosedur pengendalian kes buli serta gangguan seksual.
“Dengan adanya jawatankuasa ini, kita akan lihat sudut pandangan berbeza untuk memperkukuhkan garis panduan keselamatan sekolah.
“Saya telah mengarahkan jawatankuasa ini membuat semakan terhadap semua prosedur dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk ditambah baik atau diganti,” katanya.