KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi fokus kepada aspek keselamatan jalan raya dan pengurusan trafik dalam Siri Dialog Khas kali ke-4 yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana isu keselamatan jalan raya adalah cabaran berterusan yang menuntut perhatian serius serta pendekatan strategik.
"Antara isu yang akan dibincangkan termasuk konvoi dan marsyal motosikal memandangkan trend terbabit menimbulkan risiko keselamatan, malah boleh membabitkan kehilangan nyawa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini pada Selasa.
Saifuddin berkata, pihaknya Siri Dailog Khas itu akan bincangkan pelbagai perkara, termasuk isu konvoi.
Saifuddin berkata, pihaknya yakin sudah ada prosedur operasi standard yang ditetapkan berkaitan isu konvoi motosikal.
"PDRM mempunyai perintah tetap Ketua Polis Negara yang menjelaskan 'do’s and don't," katanya.
Bagaimanapun katanya, marsyal yang dilantik penganjur mempunyai had tertentu dalam menjalankan tugas.
"Mereka tidak boleh mengawal kenderaan lain atau mengatasi lampu isyarat (dan sebagainya)," katanya.