IPOH - Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kejadian di Kilometer 156 berhampiran sebuah kuil di Chemor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat awal kejadian itu diterima selepas pemandu tren terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan.
“Kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi ketika tren komuter berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke utara.
“Pemandu tidak dapat mengenal pasti objek terlibat disebabkan keadaan sekeliling yang gelap dan berkabus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Abang Zainal Abidin berkata, pemeriksaan lanjut menemui serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi dipercayai milik mangsa.
“Pemeriksaan dijalankan oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama pasukan Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Beberapa cebisan anggota badan ditemui dan telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk dibedah siasat,” katanya.
Tambahnya, setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Sehingga kini identiti sebenar mangsa belum dapat dikenal pasti.
“Polis meminta mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Safrizal Mohd Saad di talian 017-3446790 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti mangsa,” katanya.