SABAK BERNAM – Kerajaan Selangor menegaskan akan terus berkomunikasi dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan telus dijalankan berhubung insiden seorang pelajar sekolah yang terjatuh dari tingkat tiga asrama di sini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kerajaan negeri mengambil serius kejadian itu dan dimaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
“Kerajaan negeri menyeru masyarakat supaya bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan berita palsu.
“Beri ruang penuh kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, telah mengarahkan beliau mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian selain menziarahi mangsa.
“Saya akan menziarahi pelajar dan keluarga dalam masa terdekat.
“Kerajaan negeri turut mendoakan agar pelajar berkenaan menjalani rawatan dengan baik serta kembali sihat,” ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata, anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, masih terlalu awal untuk mengaitkan insiden itu dengan unsur buli.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.