JAKARTA – Universiti Indonesia (UI) memohon maaf selepas menjemput seorang sarjana pro-Israel dalam satu sesi perbincangan, sekali gus mengakui pihaknya tidak melakukan semakan latar belakang secara menyeluruh terhadap tokoh akademik berkenaan.
UI menerima kecaman selepas menjemput Felo Kanan di Hoover Institution, Universiti Stanford, Profesor Dr Peter Berkowitz untuk menyampaikan ucapan dalam program orientasi pelajar pascasiswazah pada minggu lalu.
Sarjana dari Amerika Syarikat itu sebelum ini dikenali kerana mempertahankan tindakan Israel di Gaza, pendirian yang jelas bertentangan dengan sokongan konsisten Indonesia terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin.
Jurucakap UI, Arie Afriansyah dalam kenyataan media menegaskan pendirian pro-Palestin universiti berkenaan tidak berubah.
Beliau turut menambah insiden tersebut menjadi pengajaran agar pihak institusi pengajian tinggi tertua di Indonesia itu lebih berhati-hati meneliti latar belakang tokoh antarabangsa sebelum diundang ke acara akademik.
“Kami akui kelalaian itu. Kami dengan tulus memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan dalam semakan latar belakang,” katanya pada Rabu.
Arie menjelaskan, pihak universiti menjemput Berkowitz semata-mata untuk berkongsi pandangan akademik kerana beliau dianggap antara sarjana terkemuka dalam bidangnya dan sepanjang sesi perbincangan beliau tetap kekal pada topik yang ditetapkan.
“UI akan terus komited menyokong usaha Indonesia menghapuskan kolonialisme,” tambahnya.
Dalam ucapannya kepada pelajar pascasiswazah, Berkowitz menekankan kaitan antara pendidikan dan demokrasi serta menyorot kepelbagaian masyarakat Indonesia.
“Anda memerlukan pendidikan yang bukan sahaja selari dengan demokrasi yang melindungi hak, tetapi juga sesuai untuk masyarakat yang sangat majmuk. Itulah cabaran pendidikan,” katanya.-Agensi