IPOH - Beban mendidik anak lebih banyak ditanggung oleh isteri susulan kurang sokongan suami adalah antara dapatan Kajian Pengaruh Kepimpinan Ibu Terhadap Motivasi Belajar Anak-anak di Perak: Penghargaan Kendiri Ibu Sebagai Mediator yang dikeluarkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM).
Kajian yang ketuai Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Professor Madya Dr Aziah Ismail bersama empat penyelidik itu turut menemukan beberapa dapatan mengenai hubungan kepimpinan ibu dalam keluarga terhadap kejayaan pendidikan anak.
Antara cabaran lain yang dihadapi oleh golongan ibu dalam kepimpinan keluarga adalah kekangan masa antara keluarga dan kerja serta keyakinan diri yang rendah membantu anak dalam akademik.
"Sesetengah ibu merasakan bahawa beban mendidik anak-anak lebih banyak ditanggung oleh mereka, tanpa sokongan yang mencukupi daripada pasangan.
"Hal ini boleh menyebabkan tekanan emosi dan keletihan mental yang akhirnya menjejaskan keupayaan mereka untuk berperanan sebagai pemimpin dalam keluarga," jelas dapatan kajian berkenaan.
Dapatan kajian tersebut dibentangkan oleh Aziah di hadapan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dalam satu sesi yang diadakan di Dewan Auditorium Aras 5, Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini pada Selasa.
Hadir sama pada sesi berkenaan, Pengerusi Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.
Aziah berkata, kajian tersebut menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk tinjauan soal selidik melibatkan 400 pasangan ibu dan anak sebagai responden.
Katanya, lokasi kajian dibuat di beberapa buah sekolah di Perak mengikut lokaliti iaitu bandar, luar bandar, pedalaman, sekolah Orang Asli dan kawasan Felda.
Sementara itu, Salbiah berkata, pihaknya menyambut baik dapatan kajian berkenaan yang akan membantu kerajaan negeri merangka pelbagai program untuk memperkasa peranan golongan ibu.
"Alhamdulillah, hari ini kita mendengar perkongsian dapatan kajian yang menilai kepimpinan wanita dalam konteks seorang ibu.
"Hasil data ini menunjukkan ada isu-isu penting yang perlu kita beri keutamaan terutama berkaitan sokongan sosial, kesihatan mental dan kefahaman ibu tentang tanggungjawab mendidik anak-anak," katanya.
Jelas beliau, kajian tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Perak malah difahamkan hampir tiada kajian dilaksanakan berkaitan kepimpinan ibu pernah dibuat sebelum ini.