KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menegur ahli Parlimen agar berhati-hati ketika membangkitkan isu melibatkan dokumen yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Beliau berkata, walaupun ucapan dalam Dewan Rakyat dilindungi Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, sebarang pendedahan dokumen rasmi tetap boleh mengundang siasatan pihak berkuasa kerana siaran prosiding dipancarkan kepada umum.
"Kalau kita cakap dalam Dewan memang dilindungi, tetapi di luar sana, sekiranya ada rakyat lapor, PDRM akan jalankan siasatan.
"Sudah tentu ahli Parlimen terbabit akan dipanggil untuk jelaskan dari mana dokumen itu diperoleh,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau merujuk kepada usul yang dibangkitkan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dikenakan tindakan berkait dokumen bawah OSA.
Ramli berkata, ahli Parlimen perlu lebih berwaspada dalam menggunakan dokumen rasmi sebagai hujah perbahasan kerana ia boleh memberi kesan undang-undang di luar Dewan Rakyat.
Tegas beliau, ahli Parlimen perlu memahami implikasi undang-undang khususnya di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 16 OSA 1972 yang menetapkan beban bukti terletak pada pihak dituduh.
“Ini bermaksud orang yang dituduh kena buktikan dia tidak bersalah.
“Jadi berhati-hatilah bila nak main dengan akta rahsia rasmi berkaitan usul yang dinyatakan,” ujarnya.