KEPALA BATAS - Seorang penunggang motosikal cedera selepas tercampak ke dalam longkang sedalam satu meter dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di Kilometer 123.6 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) di sini malam Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tercampak ke dalam longkang selepas bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.20 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas digerakkan ke lokasi.
“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an tercampak ke dalam longkang sedalam satu meter. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta patah di beberapa anggota badan.
“Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja mengangkat mangsa sebelum memberikannya rawatan awal di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke hospital berhampiran menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender tamat sepenuhnya pada jam 11.02 malam.