KUALA LUMPUR – Perjuangan membela nasib pekerja ekonomi gig mesti diperkukuh melalui Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Ekonomi Gig Malaysia yang sedang digubal kerajaan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, usaha tersebut amat penting kerana pekerja gig merupakan tulang belakang ekonomi negara, terutamanya ketika Malaysia berdepan pandemik Covid-19.
“Tak ingat ke masa Covid-19 dulu? Pekerja giglah yang menjadi barisan hadapan menjaga kita semua.
“Mereka bergerak siang malam, meredah hujan panas semata-mata untuk pastikan ada makanan di atas meja kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Nurul Izzah berkata, beliau menyokong penuh inisiatif bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang mahu memastikan RUU Pekerja Gig Malaysia diluluskan segera demi mengiktiraf hak lebih 1.2 juta pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara.
Beliau turut mendedahkan Steven bersama pasukannya telah mengadakan libat urus dengan lebih 4,000 peserta meskipun berdepan cubaan pihak tertentu untuk menggagalkan usaha tersebut.
“Semasa menjadi wakil rakyat terdahulu, isu pembelaan pekerja gig adalah antara perjuangan kita bersama. Kali ini lebih bermakna kerana saya dapat teruskan perjuangan ini bersama Steven,” jelasnya.
Antara isu besar yang diutarakan pekerja gig ialah ketiadaan perlindungan sosial apabila berlaku kemalangan sehingga menjejaskan sumber pendapatan keluarga.
“Seorang pekerja gig pernah berkongsi, kawannya kemalangan dan terpaksa berehat lima bulan. Kereta boleh tuntut insurans, tetapi dia langsung tidak mendapat pampasan.
“Anak isteri di rumah nak makan apa? Sebab itu syarat wajib dalam RUU ini ialah semua pekerja gig perlu dilindungi PERKESO, tiada pengecualian,” katanya.
Selain itu, Nurul Izzah berkata, masalah akaun digantung akibat laporan palsu pelanggan tanpa ruang rayuan juga perlu ditangani segera.
“Dulu saya pernah cadang untuk tubuhkan tribunal khas bagi pekerja gig. Apa-apa masalah boleh dibawa terus ke tribunal. Kalau syarikat besar ini degil, kita kenakan denda yang berat,” tegasnya.
Katanya lagi, pekerja gig juga harus diberi ruang untuk merundingkan kadar bayaran dan syarat kerja secara adil.
“Saya cadang perlu ada satu majlis khas supaya kerajaan, syarikat dan wakil pekerja gig boleh duduk semeja mencari penyelesaian. Barulah mereka ada suara dan kuasa, bukan terus dipijak mentah-mentah,” katanya.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana cadangan-cadangan tersebut telah dipersetujui untuk dimasukkan ke dalam RUU berkenaan.
“Pekerja gig ada maruah, ada masa depan. Mereka perlu dibela supaya masyarakat tidak lagi menganggap mereka ini macam tin kosong,” katanya.