PUTRAJAYA – Fungsi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini tidak hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan dan keselamatan di perairan negara, malah turut memberi penekanan kepada kebajikan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, selain menjalankan tanggungjawab sebagai penguat kuasa di laut, Maritim Malaysia juga mahu tampil sebagai rakan masyarakat melalui pendekatan yang lebih mesra rakyat dan berteraskan keselamatan.
“Maritim Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat seiring tema sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, Malaysia Madani: Rakyat Disantuni,” katanya selepas merasmikan Program Pemasangan Jalur Gemilang di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, di sini pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; serta pengarah-pengarah bahagian Maritim Malaysia.
Mohd Rosli berkata, pelbagai inisiatif mendekati masyarakat sudah digerakkan, antaranya Program Sahabat Maritim, Sekolah Angkat Madani, Santuni Madani dan Kampung Angkat Madani.
“Program Sahabat Maritim memberi peluang kepada pihak kami untuk turun padang mendekati nelayan dan komuniti pesisir pantai bagi berkongsi ilmu keselamatan serta pemahaman mengenai undang-undang maritim.
“Sementara itu, Program Sekolah Angkat Madani, Santuni Madani dan Kampung Angkat Madani menjadi platform Maritim Malaysia bersama masyarakat melalui program kebajikan, pendidikan serta aktiviti kesedaran keselamatan di laut,” katanya.
Tegasnya, program berkenaan bukan sekadar acara simbolik tetapi manifestasi jelas hasrat Maritim Malaysia untuk bukan sahaja hadir di laut, malah dekat dengan rakyat.
“Ia membawa semangat maritim mendekati komuniti serta sentiasa bersama rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.