Rakaman suara Individu ‘A’ dedah insiden kematian Syamsul Haris – peguam

Iklan
Ummu Haiman Bee (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar selepas hujahan notis permohonan supaya kubur anak sulungnya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua.

SHAH ALAM – Ibu Allahyarham pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai memfailkan afidavit tambahan di Mahkamah Tinggi di sini pada Sabtu lalu dengan mendakwa ia mengandungi pendedahan seorang individu berhubung kematian Syamsul Haris Shamsudin.

Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon berkata, pendedahan berkenaan dimasukkan dalam bentuk audio ke pemacu kilat USB berserta catatan transkripsinya.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding di hadapan Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, peguam itu berkata, identiti individu dilabel sebagai ‘A’ tidak dapat dipaparkan bagi melindungi keselamatannya.

Menurutnya, pemohon telah menyerahkan salinan berkenaan kepada pihak Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail selaku responden pertama pada Isnin sementara pihak Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar (responden kedua) pada 19 Ogos lalu.

Iklan

“Individu itu menyatakan perkara yang berlaku pada hari kejadian dan pihak yang terlibat dalam kejadian terbabit,” kata Naran yang hadir bersama seorang lagi peguam, Muhammad Aiman Haziq Saiful Kamal.

Bagaimanapun, kedua-dua responden membantah dokumen baharu berkenaan dengan alasan transripsi itu tidak disahkan oleh pihak pakar.

Iklan

Semasa hujahan, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Ilmami Ahmad yang mewakili responden pertama berkata, USB dan transkripsinya perlu dikemukakan kepada mahkamah oleh pembuatnya.

Selain itu beliau berkata, pembuat rakaman perlu hadir ke muka pengadilan untuk memberi keterangan.

“Mahkamah kemudiannya boleh memberi arahan lanjut mengenai dakwaan pemohon yang bimbang dengan keselamatan penyampai maklumat itu jika identitinya didedahkan.

“Mahkamah mempunyai budi bicara, supaya namanya disembunyikan,” katanya yang hadir bersama Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin.

Sementara itu, responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh berkata, timbul persoalan mengenai identiti dua suara yang terdapat dalam salinan rakaman terbabit.

“Ada dua suara membabitkan seorang lelaki dan perempuan, namun kami perlu periksa kesahihannya terlebih dahulu,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi.

Hakim, Bhupindar Singh kemudiannya menetapkan Selasa untuk keputusan sama ada kubur pelatih Palapes berkenaan boleh digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dibuat.

Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.

Pada 1 Ogos lalu, polis dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian seorang pelatih Palapes itu.