JAKARTA - Seorang remaja perempuan warganegara Malaysia berusia 16 tahun diselamatkan selepas rebah akibat hipotermia ketika mendaki Gunung Sagara, wilayah Jawa Barat, Indonesia pada Sabtu.
Menurut polis tempatan, remaja itu pengsan di Pos Empat laluan pendakian berhampiran Kampung Sagara sekitar 1 tengah hari waktu tempatan ketika bersama beberapa rakannya.
Polis Garut menjelaskan, remaja itu berjaya diselamatkan oleh Ketua Unit Jenayah Khas, Inspektor Hadiansyah yang kebetulan berada di laluan pendakian sama.
Walaupun sedang bercuti, beliau telah mengambil masa lebih sejam untuk membawa mangsa turun ke Pos Satu, sebelum seterusnya dibawa ke tapak perkhemahan utama.
"Remaja itu menerima rawatan awal dan kembali sedar sebelum dibawa ke pusat kesihatan untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan polis.
Sehubungan itu, Polis Garut mengingatkan orang ramai supaya memastikan tahap kesihatan berada pada paras terbaik serta dilengkapi peralatan sesuai sebelum melakukan aktiviti pendakian. - Bernama