ALOR SETAR – Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam percubaan menangkap mereka yang berakhir tragis pada 7 Ogos lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh iaitu Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, kira-kira jam 3.43 petang.
Kesemua suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala kesemua tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.
Dalam kejadian yang dilaporkan Sinar Harian pada 7 Ogos lalu, mangsa dilanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang dipandu suspek ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak polis.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat rempuhan tersebut dan kesemua suspek dipercayai berasal dari Johor serta terlibat dalam kegiatan jenayah rentas negeri.