Tiga lelaki dicekup jual beli 5,696 pil dadah dalam hutan

Iklan
Cubaan tiga lelaki mengatur urus niaga pelbagai jenis dadah berjumlah 5,696 biji di dalam kawasan hutan akhirnya 'memakan diri' apabila mereka diberkas PGA dalam serbuan di Kampung Batu Karang, Pasir Mas pada Sabtu. - Foto: PGA

PASIR MAS – Cubaan tiga lelaki mengatur urus niaga pelbagai jenis dadah berjumlah 5,696 biji di dalam kawasan hutan akhirnya memakan diri apabila mereka diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Kampung Batu Karang, di sini, pada Sabtu.

Serbuan terbabit dilakukan kira-kira jam 1.45 petang menerusi Op Taring Wawasan.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga lelaki tersebut cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai cuba menjual dadah kepada dua lagi lelaki berusia 29 dan 32 tahun di kawasan hutan terbabit.

Iklan

“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan sebanyak 5,670 biji pil yaba, 16 biji pil epam, 10 biji pil Eramin 5 dan sebotol ubat batuk,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan menemukan sebanyak 5,670 biji pil yaba, 16 biji pil epam, 10 biji pil eramin 5 dan sebotol ubat batuk. Foto: PGA

Iklan

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM105,000 termasuk sebuah motosikal yang turut dirampas.

Ujarnya, kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(1), 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.