SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bakal digubal diharap mampu menyediakan perlindungan undang-undang yang jelas bagi melindungi pekerja gig daripada risiko ditipu pelanggan.
Penulis bebas, Jamilah Hamzah berkata, masalah utama yang sering berlaku ialah bayaran tidak dilunaskan walaupun kerja telah disiapkan.
Menurutnya, situasi itu semakin membimbangkan kerana ramai pekerja gig terpaksa menanggung kerugian tanpa sebarang pembelaan.
“Kami berharap kerajaan dapat mewujudkan akta khusus atau menawarkan bantuan guaman sekiranya klien culas membuat bayaran. Tanpa perlindungan undang-undang, hasil kerja kami diperah tetapi akhirnya klien melarikan diri tanpa membayar.
“Sekiranya terdapat isu pelanggan culas membuat bayaran selepas kerja dilaksanakan, kerajaan turut boleh menawarkan bantuan guaman atau ada akta yang melindungi hak pekerja terutamanya penulis bebas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Jamilah, meskipun ada perjanjian bertulis antara penulis dan pelanggan, proses undang-undang untuk menuntut bayaran tidak berbaloi kerana melibatkan kos guaman serta tempoh masa yang panjang.
Penghantar makanan, Khairul Akmal Barkawi pula berpendapat, kerajaan perlu menggubal peraturan yang menetapkan kadar bayaran minimum bagi setiap tugasan atau perjalanan selain mengawal caj komisen yang dikenakan oleh syarikat platform.
“Lebih membimbangkan, ada pekerja yang terpaksa menerima bayaran rendah demi memastikan mereka terus mendapat tugasan biarpun kadar tersebut jauh daripada mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.
“Ramai dalam kalangan kami terpaksa bekerja lebih 10 jam sehari semata-mata untuk mencapai pendapatan yang setara dengan gaji minimum.
“Jika kerajaan boleh menetapkan kadar bayaran minimum bagi pekerja bergaji, mengapa tidak bagi pekerja gig yang turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Pemandu e-hailing yang hanya mahu dikenali Edy pula menyuarakan harapan agar kerajaan memperkenalkan skim pinjaman mikro dan pembiayaan khas yang lebih mesra kepada mereka bagi menyokong kelangsungan kerjaya dalam industri ini.
Katanya, memandangkan majoriti pekerja gig tidak mempunyai slip gaji tetap atau penyata kewangan formal seperti pekerja bergaji bulanan, akses mereka kepada pinjaman institusi kewangan sering terbatas.
“Keadaan ini menyukarkan kami untuk memiliki aset atau peralatan yang diperlukan bagi menjana pendapatan. Ramai pekerja gig memerlukan modal untuk membeli motosikal, kereta, telefon pintar atau insurans.
“Selain itu, kerajaan juga perlu wujudkan mekanisme bantuan kewangan automatik untuk pekerja gig ketika berdepan krisis iaitu hilang punca pendapatan secara mendadak,” ujarnya.