Orang ramai mula banjiri Dataran Merdeka untuk malam himpunan bersama Gaza

Iklan
Orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka seawal jam 6 petang bagi menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dijadual berlangsung sehingga jam 12 malam ini. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka sejak jam 6 petang Ahad bagi menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dijadual berlangsung malam ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung hadir secara berkumpulan bersama rakan dan keluarga, dengan ramai mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol solidariti kepada rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Acara anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu dijadual bermula jam 7 malam hingga 11.45 malam dengan sasaran kehadiran lebih 100,000 peserta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan utama selain merasmikan pelepasan delegasi Flotilla Sumud Nusantara ke Gaza.

Iklan

Program turut diisi dengan solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah serta tausiyah Peduli Ummah oleh tokoh agama termasuk Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Orang ramai mula membanjiri Dataran Merdeka seawal jam 6 petang bagi menghadiri Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dijadual berlangsung sehingga jam 12 malam ini. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Iklan

Selain itu, kumpulan Az Zahir akan mengalunkan qasidah dan selawat bagi menghidupkan suasana malam penuh syahdu tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Pengarah Malam Himpunan, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim turut dijangka hadir.

Selain itu, kenderaan solidariti dari dalam dan luar negara juga akan menyertai konvoi khas membawa panji Palestin menuju ke lokasi.

Acara berkenaan merupakan kemuncak kepada Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung sejak 22 Ogos lalu, menampilkan tarikan seperti VR Gaza Time Tunnel, tayangan filem Palestin, pameran agensi, Kids World Hall dan pertunjukan belon panas.

Penganjur turut menyediakan kemudahan surau di sekitar kawasan acara dan menasihatkan pengunjung membawa sejadah, tikar serta menggunakan pengangkutan awam bagi melancarkan pergerakan.

Turut dijangka hadir memberi sokongan ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Malam ini dijangka menjadi detik bersejarah apabila solidariti rakyat Malaysia diterjemahkan bukan sahaja melalui doa dan selawat, tetapi juga dengan pelepasan delegasi aktivis membawa bantuan ke Gaza melalui misi flotilla.