PUTATAN – Seorang lelaki maut selepas terjatuh ketika membaiki tangki air di belakang sebuah rumah di Kampung Pasir Putih di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 42 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Balai Polis Putatan menerima aduan berhubung penemuan mangsa berkenaan.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang juga warga asing, disyaki terjatuh semasa sedang membaiki tangki air di bahagian belakang rumah tersebut.
“Siasatan awal turut mendapati tiada unsur jenayah, namun kes masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang imej atau rakaman video mangsa di platform media sosial bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga.