Pengurus Kanan Karangkraf terima anugerah Darjah Seri Melaka

Iklan
Hashim ditemani isteri, Noriaeh Mohd Nor di istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun kelahiran ke-76 TYT Melaka di Seri Negeri pada Ahad.

MELAKA – Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang menerima anugerah Darjah Seri Melaka (DSM) sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-76 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Ahad.

Hashim yang memulakan kerjayanya di Karangkraf sebagai wartawan akhbar Bacaria pada 1988 melahirkan rasa syukur selain tidak menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut.

Iklan
Iklan

“Saya tidak menduga menerima pengiktirafan ini. Terima kasih kepada Tun Mohd Ali dan Kerajaan Negeri Melaka atas penghormatan ini,” katanya selepas istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu.

Hashim turut menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada Karangkraf sebagai sebuah syarikat media yang sentiasa komited menyampaikan ilmu dan dakwah kepada masyarakat.

Iklan

Hashim bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing selepas majlis penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun kelahiran ke-76 TYT Melaka di Seri Negeri.

“Kempen seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour serta inisiatif Rasuah Busters nyata menyentuh hati masyarakat dan memberi kesan positif kepada perubahan sosial,” katanya.

Iklan

Selain peranan dalam dunia media, Hashim juga aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau merupakan Ahli Majlis Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Timbalan Pengerusi Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Seksyen 19 Shah Alam.

Pada majlis itu, seramai 52 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) tersenarai bagi sesi pertama, diikuti 66 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 44 penerima Pingat Jaksa Kebaktian (PJK), 40 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan dua penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai penerima sebagai penerima tunggal Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Istiadat penganugerahan itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum.