KULIM - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menggesa siasatan terperinci dan tindakan tegas diambil sekiranya kejadian buli berulang.
Baginda turut menzahirkan rasa kecewa dengan insiden buli yang tular di televisyen dan media sosial baru-baru ini.
Iklan
Iklan
“Jika gejala buli ini berlaku di sini, semua pihak terbabit mestilah melakukan siasatan terperinci dan tindakan tegas hendaklah diambil supaya perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Bagi saya, apa yang lebih penting ialah langkah-langkah sesuai untuk mencegah gejala buli ini,” titah baginda ketika menghadiri Hari Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sarafudin Badlishah 2025 di sini pada Ahad.
Dalam kesempatan itu, baginda turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa agar memainkan peranan memantau dan memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mengenai perkara yang betul dan salah.
“Pihak sekolah juga perlu melihat perkara ini dengan memastikan kemuliaan adab dan ketinggian akhlak sentiasa diutamakan serta diketengahkan kepada murid-murid.
“Nilai murni seperti berdisiplin, saling menghormati dan sentiasa berlapang dada dalam perbezaan pandangan mestilah sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa sebagai salah satu usaha membanteras gejala buli daripada terus berleluasa,” titah baginda.