SUNGAI BULOH - Seorang lelaki bertindak menghubungi polis selepas mendakwa membunuh teman wanitanya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Subang di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kira-kira jam 8.54 malam yang mengaku membunuh teman wanitanya akibat tekanan.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di rumah berkenaan, seorang penyewa memberitahu terdapat lelaki lain bersama teman wanitanya di bilik belakang sebelum anggota polis kemudian mengetuk pintu bilik tersebut dan ia dibuka oleh seorang lelaki.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berusia 52 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada jam 10.47 malam mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia lebih empat jam sebelum ditemui.
"Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh dengan cara dicekik menggunakan tangan.
"Suspek yang merupakan teman lelaki mangsa berusia 47 tahun telah ditahan di lokasi kejadian," katanya.
Menurutnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis memandang serius kejadian berkenaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941," katanya.