KOTA BHARU - Anak muda di Kelantan diajak untuk 'Merdeka Dengan Rasa' melalui al-Quran menerusi program Malaysia #QuranHour 2025 yang berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini.
Bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’, program ini akan diadakan di lokasi utama negeri Kelantan iaitu Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian bermula seawal jam 8 pagi hingga 1 tengah hari membawa misi memperkukuh jiwa anak muda melalui al-Quran.
Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Kelantan, Muhammad Bokhari berkata, kempen tahun ini memberi tumpuan kepada Surah Al-Saff, selaras dengan usaha membentuk generasi berprinsip dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
“Kita mahu anak muda menjadikan al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi sebagai panduan hidup.
“Surah Al-Saff dipilih untuk memperkukuh nilai perpaduan, disiplin dan keteguhan dalam perjuangan menentang kehancuran akhlak dan nafsu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Kelantan, khususnya golongan belia, memanfaatkan peluang ini untuk menghayati dan mengamalkan mesej al-Quran dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, lokasi utama penganjuran kempen nasional tahun ini adalah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, yang dijadualkan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.
Program tahunan ini turut menyasarkan pembinaan jati diri melalui pengisian al-Quran, dalam usaha membebaskan masyarakat daripada belenggu amarah, dendam dan sifat negatif yang mencengkam jiwa.