KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menerima kenderaan pengangkut berperisai (APC) jenis International Armoured Group (IAG) Guardian 4x4 bagi mengawasi sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum dimaklumkan mengenai jumlah aset yang akan ditempatkan di negeri ini.
“Kita tunggu keputusan pihak atasan, berapa yang akan ditempatkan di Kelantan untuk tujuan rondaan di sempadan.
“APC IAG Guardian dilihat lebih efektif dari pelbagai sudut termasuk kelengkapan canggih, lebih selesa serta selamat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Ahad.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa IPK Kelantan yang baharu akan dibina di Tunjong dengan kos melebihi RM400 juta.
Katanya, IPK sedia ada sudah berusia lebih 40 tahun, selain perjawatan yang semakin bertambah menyebabkan ruang pejabat tidak lagi mencukupi.
“Kita berharap pembinaan IPK baharu itu dapat dipercepatkan. Ketika ini, tender masih dalam proses,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, kerajaan turut menyalurkan peruntukan RM4.5 juta kepada Polis Kelantan untuk kerja-kerja pembaikan balai yang uzur.
“Balai Polis Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli adalah antara balai baharu, manakala yang lain kebanyakannya sudah lama dan daif,” katanya.