SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada program modenisasi aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memastikan tahap keselamatan ruang udara negara kekal terjamin.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, beberapa insiden membabitkan pesawat tentera sebelum ini perlu diberikan perhatian serius dan langkah meningkatkan kemampuan aset udara negara wajar disegerakan.
Menurutnya, jumlah pesawat tempur yang dimiliki negara pada masa ini juga kecil untuk melaksanakan operasi di Semenanjung dan Malaysia Timur selepas perkhidmatan MiG-29N ditamatkan.
“Dengan jurang jumlah aset ini maka kerajaan perlu mempercepatkan proses perolehan pesawat pejuang baharu sama ada sebagai langkah sementara atau jangka panjang. Proses mendapatkan pesawat Generasi Ke-5 hanya dijangka pada 2040, maknanya tempoh itu masih panjang.
“Kerajaan wajar mempertimbangkan pesawat Generasi 4.5 yang mempunyai teknologi lebih moden, malah ada yang sudah menghampiri ciri pesawat Gen 5. Ia juga penting sebagai persediaan kepada juruterbang dan kru TUDM sebelum peralihan kepada pesawat Generasi 5 kelak,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah TUDM menggantung sementara operasi pesawat F/A-18D susulan kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan pada Khamis.
Ditanya sama ada Malaysia perlu mengkaji semula kebergantungan kepada aset lama ini, Zaki menjelaskan bahawa pesawat tempur TUDM yang ada kini mempunyai usia berbeza seperti Hawk sudah 30 tahun, Hornet 27 tahun dan Sukhoi 18 tahun.
“Hawk sebagai pesawat tempur ringan dan latihan akan diganti dengan pesawat FA-50M buatan Korea yang akan tiba secara berperingkat mulai tahun depan. Malaysia beli 18 pesawat ini sebagai pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan. Rancangan TUDM akan beli 18 buah lagi menjadikan 36 kesemuanya.
“Tentang Hornet pula, kita kena betulkan tanggapan sesetengah netizen yang kata Hornet TUDM adalah keranda terbang, itu tidak betul. Hornet TUDM adalah pesawat baru semasa dibeli bukan ‘terpakai’ seperti tanggapan sesetengah netizen.
“Walaupun dah diguna selama 27 tahun tapi Hornet TUDM sudah dinaik taraf pada tahap SCS 25X yang dilancarkan pada tahun 2014.
“Program naik taraf ini memastikan pesawat tempur F/A-18D Hornet relevan dan boleh beroperasi sekurang-kurangnya sehingga tahun 2035,” jelasnya.
Tambah Zaki, naik taraf pelbagai sistem pada pesawat seperti avionik, radar dan persenjataan menjadikan Hornet TUDM menyamai dengan varian Super Hornet milik Amerika.
Disebabkan itu katanya, Malaysia boleh terlibat dalam latihan bersama Amerika Syarikat dan lain-lain tentera udara kerana pesawat Hornet memiliki keupayaan moden.
“Ini membuktikan pihak kepimpinan TUDM komited dalam memastikan keupayaan aset udara ini terus relevan sebagaimana aspirasi pelan pembangunan keupayaan TUDM (CAP55),” jelasnya.