Aduan buli secara kebangsaan, potensi cegah buli di sekolah

Iklan
Cadangan platform aduan buli kebangsaan mendapat sokongan lebih 87 peratus rakyat Malaysia, diyakini mampu memperkukuh keselamatan pelajar dengan sistem lebih telus dan responsif - Gambar hiasan

Cadangan untuk menubuhkan platform aduan buli peringkat kebangsaan sangat proaktif dan relevan memandangkan gejala buli kini kian meruncing dalam institusi pendidikan.

Pelaksanaan inisiatif sedemikian berpotensi mencegah buli di sekolah dengan memberi tumpuan kepada respons pantas dan pengurusan data yang sistematik.

Iklan
Iklan

Tidak dinafikan, Kementerian Pendidikan telah memiliki pelbagai saluran untuk menerima aduan buli antaranya portal aduan di bawah Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), talian telefon dan WhatsApp serta peti aduan fizikal di sekolah.

Namun, mekanisme ini dilihat masih lemah kerana wujud keraguan dalam kalangan pelajar dan orang awam untuk tampil membuat laporan serta kecenderungan sesetengah pihak menyembunyikan insiden bagi melindungi reputasi sekolah.

Iklan

Oleh itu, usaha memperkasakan sistem ini ke tahap kebangsaan diyakini dapat menyatukan proses, meningkatkan kepercayaan pengadu dan memastikan tindakan segera dapat diambil.

Malah, cadangan ini turut mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.

Iklan

Hasil tinjauan ringkas Sinar Harian di media sosial mendapati majoriti rakyat menyokong penuh cadangan Kementerian Pendidikan mewujudkan platform aduan buli peringkat kebangsaan sebagai usaha menangani gejala itu secara lebih berkesan.

Dalam undian yang dijalankan pada 22 Ogos 2025 di empat platform utama Sinar Harian, sokongan yang diterima berada pada tahap tinggi, melebihi 87 peratus di semua saluran.

Namun, matlamat ini tidak akan tercapai tanpa dasar pelaksanaan yang kukuh.

Ketelusan dalam pengurusan aduan dan pelaporan hasil tindakan amat penting untuk menjaga kredibiliti sistem serta memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap laporan diambil serius.

Dalam konteks ini, kerjasama erat antara sekolah dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar amat diperlukan bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi secara sinergi.

Tuntasnya, penubuhan platform aduan buli kebangsaan menawarkan harapan besar dalam memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Ia berpotensi menyediakan sistem yang lebih responsif, inklusif dan berasaskan data sekali gus menghapuskan budaya buli di institusi pendidikan negara.