SHAH ALAM – Hasil tinjauan ringkas Sinar Harian di media sosial mendapati majoriti rakyat menyokong penuh cadangan Kementerian Pendidikan mewujudkan platform aduan buli peringkat kebangsaan sebagai usaha menangani gejala itu secara lebih berkesan.
Dalam undian yang dijalankan pada 22 Ogos 2025 di empat platform utama Sinar Harian, sokongan yang diterima berada pada tahap tinggi, melebihi 87 peratus di semua saluran.
Iklan
Iklan
Di Facebook, sebanyak 26 undian direkodkan dengan 100 peratus responden bersetuju langkah itu adalah yang terbaik tanpa sebarang penolakan.
Sementara itu, di aplikasi X, daripada 45 undian, sebanyak 87 peratus menyokong, manakala tujuh peratus tidak bersetuju dan tidak pasti.
Platform Instagram yang menerima 185 undian pula menunjukkan 91 peratus responden bersetuju, tiga peratus menolak dan enam peratus tidak pasti.
YouTube mencatat jumlah undian paling tinggi iaitu 1,200 dengan 93 peratus responden menyokong cadangan berkenaan, manakala tiga peratus tidak setuju atau memilih jawapan tidak pasti.
Secara keseluruhannya, tinjauan itu menggambarkan sokongan padu rakyat terhadap usaha kementerian menyediakan saluran rasmi yang mudah diakses untuk melaporkan sebarang kes buli.