Malaysia sertai mesyuarat tergempar OIC bincang serangan Israel

Iklan
Wisma Putra memaklumkan, mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan situasi terkini berhubung cadangan Israel mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan menyertai Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Isnin ini di Jeddah, Arab Saudi.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, mesyuarat tergempar itu diadakan bagi membincangkan situasi terkini berhubung cadangan Israel mengambil alih sepenuhnya wilayah Semenanjung Gaza secara paksa, selain visi peluasan wilayah 'Greater Israel' yang melanggar perundangan antarabangsa.

Iklan
Iklan

Isu pembinaan ribuan penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT) turut menjadi agenda utama perbincangan.

"Beliau juga dijadualkan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di sela-sela mesyuarat itu berhubung usaha bersama menamatkan kesengsaraan penduduk Palestin di Gaza yang diakibatkan oleh sekatan bantuan kemanusiaan berterusan oleh rejim zionis Israel.

Iklan

“Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC adalah komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak-hak Palestin untuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat tergempar peringkat Menteri Luar Negeri OIC kali ini dilihat penting dalam merumuskan pendirian bersama negara anggota Islam terhadap tindakan berterusan Israel, selain menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa dalam menghentikan penindasan terhadap Palestin.

Iklan