Malim gunung perlu pastikan sampel tumbuhan tidak 'dirompak'

Iklan
Pendaki-pendaki Malaysia yang diraikan sempena Gathering of Climbers & Trekkers 2025 and celebrating the Success of the Trans-Titiwangsa V6 Team. Gambar kecil dari kiri: Johan, Magendran, Mohd Yussainy

PETALING JAYA – Malim gunung di negara ini digesa menjadi mata dan telinga kerajaan bagi melaporkan sebarang kegiatan pengambilan sampel hutan secara tidak sah khususnya oleh pendaki warga asing.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, langkah proaktif perlu digerakkan kerana terdapat kebimbangan bahawa sampel tumbuhan Malaysia dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa negeri atau Jabatan Perhutanan oleh pihak yang menyamar sebagai pendaki.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun mekanisme kawalan dibuat agar mana-mana penyelidik mendapatkan kebenaran kerajaan untuk membuat kajian di hutan simpan kekal, namun terdapat pihak yang mengambil kesempatan atas kemudahan perkhidmatan malim gunung yang disediakan.

“Apa yang berlaku adalah ramai orang datang ke negara kita tanpa mengisytiharkan diri mereka sebagai penyelidik.

Iklan

“Mereka ambil kesempatan dengan kemudahan perkhidmatan malim gunung untuk mendapatkan sampel penyelidikan bagi kepentingan masing-masing.

“Jadi, kita sarankan malim gunung membuat laporan sekiranya mereka ini didapati mengambil sampel secara tidak sah.

Iklan

“Silibus kita kepada malim gunung juga merangkumi perkara selain menjadi jurupandu, mereka turut berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan untuk menyampaikan maklumat berhubung kesalahan hutan yang berlaku dalam aktiviti pendakian,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Gathering of Climbers & Trekkers 2025 and Celebrating the Success of the Trans-Titiwangsa V6 Team yang menghimpunkan para pendaki negara.

Mereka termasuk dua lagenda yang juga pendaki Malaysia pertama berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 23 Mei 1997, iaitu Datuk M Magendran dan Datuk N Mohandas.

Mengulas lanjut, Mohd Yussainy berkata, kawalan kapasiti pendaki dilaksanakan bagi mengurangkan beban denai yang boleh memberi risiko kepada pemeliharaan hutan.

“Contohnya bagi kawasan tanah tinggi melebihi 2,000 meter, Jabatan Perhutanan hanya membenarkan 60 orang sehari. Berbanding kawasan hutan lebih rendah, kapasiti dibenarkan sehingga 120 orang sehari.

“Ini langkah yang telah dibuat oleh Jabatan Perhutanan untuk memastikan kawasan pendakian dapat dikawal supaya flora dan fauna dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Magendran turut menzahirkan kebimbangan terhadap pemeliharaan hutan untuk generasi akan datang memandangkan sukan lasak tersebut kini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

“Apa yang merisaukan adalah bagaimana kita harus mengawal agar hutan kita dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

“Kita perlu beri pengajaran dan tunjuk ajar kepada pendaki muda bagaimana kita boleh menjaga hutan agar kekal tanpa sebarang isu pencemaran,” tegas beliau.

Sementara itu, dalam program sama turut diraikan 20 pendaki yang berjaya mengharungi ekspedisi Trans-Titiwangsa V6 selama 65 hari yang berakhir Jun lalu.

Kejayaan pasukan pendaki menamatkan ekspedisi tersebut menjadi rekod perjalanan pendakian terpanjang di Asia Tenggara.

Himpunan tersebut dianjurkan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar bersama dua ikon pendaki negara iaitu pendaki kedua Malaysia yang berjaya menawan Gunung K2, Mohd Khafiz Bachok dan Pendaki Solo Malaysia, Mohd Noor Mat Amin.

Usaha itu bagi menghargai sumbangan generasi muda dalam kegiatan sukan ekstrem.

Menurut Johan, perjalanan bersejarah yang dicipta pasukan ekspedisi berkenaan perlu dihargai.

“Kita juga kumpulkan lagenda dalam dunia pendakian dan pertemuan ini dibuat secara santai untuk memberikan inspirasi kepada golongan muda.

“Pertemuan seumpama ini pertama kali kita buat dan kita harap akan dibuat dari masa ke masa,” katanya.