4 maut, 2 parah dalam kemalangan kereta dipandu remaja 16 tahun

Iklan
Empat maut termasuk pemandu selepas kereta Toyota Corolla terbabas ke dalam parit dan melanggar tembok konkrit di Jalan Sultan Suleiman Shah, Kuala Langat.

KUALA LANGAT – Sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan hingga meragut empat nyawa manakala dua lagi cedera parah di Jalan Sultan Suleiman Shah di sini pada Sabtu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu kira-kira jam 5 pagi.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan mendapati kereta jenis Toyota Corolla berwarna merah itu dari arah Pantai Morib menghala ke Telok Panglima Garang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu seorang remaja berusia 16 tahun dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum terbabas ke dalam parit di bahu jalan dan melanggar tembok konkrit parit tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Keadaan kereta yang terlibat kemalangan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Kuala Langat.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia melibatkan pemandu, penumpang hadapan serta dua penumpang belakang.

Iklan

"Pemandu, penumpang hadapan dan dua penumpang belakang dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Dua lagi rakan mereka yang merupakan penumpang bahagian belakang mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Banting," katanya.

Mohd Akmalrizal berkata, waris mangsa yang terlibat telah hadir membuat laporan polis, manakala percakapan mereka turut diambil oleh pegawai penyiasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor S Taneswaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.