BUKIT KAYU HITAM – Sebanyak 20,000 kilogram produk makanan kering jenis longan disita oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam selepas didapati tidak mematuhi peraturan pelabelan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1985.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sitaan dilakukan dalam satu operasi pemeriksaan di Balai Pemeriksaan Kesihatan, Blok E1, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada malam Jumaat.
“Produk berkenaan dibawa masuk melalui laluan perdagangan bersama barangan dagangan lain, namun didapati tiada pelabelan yang sah seperti yang diwajibkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam itu berjaya mengesan pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
“Anggaran nilai rampasan mencecah RM480,011.77 berdasarkan invois yang dikemukakan oleh pihak pengimport,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dibuat dan pihak pengimport memilih untuk melaksanakan proses re-eksport ke negara asal.
"Tindakan lanjut akan diambil selepas mendapat kelulusan mengikut prosedur sedia ada," katanya.
Mohd Nasaruddin menegaskan, AKPS komited memastikan setiap produk makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan makanan.
“Kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkukuh demi menjamin keselamatan pengguna serta kedaulatan sempadan negara,” katanya.