Setiap negeri perlu ada satu mahkamah, van bergerak

Iklan
Azalina - Gambar fail

SHAH ALAM - Setiap negeri perlu mempunyai satu mahkamah bergerak dan van bagi mengambil keterangan saksi kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, pihaknya sedang memohon supaya inisiatif tersebut dimasukkan dalam Belanjawan 2026 pada Oktober depan.

Iklan
Iklan

“Terima kasih rakan saya, ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan. Memang kita telah mohon untuk dimasukkan dalam Belanjawan akan datang bahawa setiap negeri perlu mempunyai satu mahkamah bergerak dan satu van bergerak yang mengambil keterangan saksi kanak-kanak.

“Ini bukti komitmen Kerajaan Madani dalam memperluas akses keadilan untuk semua,“ katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas hantaran video Syahredzan yang meninjau van mahkamah bergerak dan van saksi kanak-kanak di Parlimen.

Sebelum ini, Azalina memaklumkan, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan perkhidmatan mahkamah bergerak ke Semenanjung Malaysia menerusi inisiatif ‘Justice On Wheels’ bagi memastikan akses kepada sistem keadilan dapat dinikmati rakyat di kawasan luar bandar.

Iklan

Ahli Parlimen Pengerang itu menambah, inisiatif berkenaan telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, kini sedang diperluas ke negeri di Semenanjung.