SHAH ALAM – Kerajaan perlu memastikan setiap keputusan melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk syarikat yang dipilih untuk melaksanakan pembaharuan semula institusi itu, dibuat dengan penuh hikmah, mengambil kira sensitiviti majoriti pendeposit dan dipandu oleh prinsip syariah.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendekatan tersebut penting bagi menutup sebarang fitnah dan menjaga maruah agama supaya tidak mengundang kontroversi yang boleh merugikan umat Islam.
Menurutnya, semua pihak perlu memahami bahawa TH wujud kerana kepercayaan lebih sembilan juta pendeposit dan asas itu menjadi modal terbesar institusi berkenaan.
“Saya menyeru agar kita kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus berteraskan integriti demi memastikan Tabung Haji kekal unggul, diyakini serta menjadi kebanggaan negara dan dunia Islam.
“Tabung Haji juga adalah simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan para pendeposit. Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan berpanjangan.
“Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik, dengan mengutamakan suara hati majoriti pendeposit Tabung Haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan sedang menimbang tindakan terhadap individu yang didakwa cuba menghasut pendeposit TH supaya menutup akaun mereka susulan kontroversi projek penjenamaan semula.
Mohd Na’im berkata, beberapa video seumpama itu telah disebarkan di platform media sosial baru-baru ini.
Kontroversi tersebut timbul berikutan tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan usaha penjenamaan semula oleh TH kerana didakwa diberikan melalui rundingan terus kepada sebuah usaha niaga bukan Islam.
Zulkifli dalam hantaran sama turut mendedahkan bahawa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), iaitu unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), merupakan agensi terawal berkunjung ke pejabatnya ketika beliau memegang jawatan menteri untuk menawarkan bantuan memperkukuh fungsi TH.
Ujarnya, cadangan kerjasama awal itu memberi gambaran jelas bahawa pemerkasaan ekonomi bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi Islam dan TH ialah antara lambang terpenting kepercayaan ummah yang mesti dipertahankan serta diperkasakan.
“Namun, perancangan tersebut tidak dapat diteruskan setelah berlakunya Covid-19 dan pertukaran kerajaan,” katanya.