SYARIKAT rangkaian burger tempatan, myBurgerLab menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Operasinya, Andrew Chong, susulan kontroversi yang tercetus akibat catatan peribadinya di media sosial.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat itu menzahirkan rasa dukacita terhadap catatan tersebut yang menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan kesakitan khususnya dalam kalangan umat Islam kerana dianggap tidak menghormati nilai-nilai Islam.
Pihak syarikat menegaskan catatan itu bukan kenyataan rasmi myBurgerLab dan tidak mencerminkan prinsip teras mereka iaitu penghormatan, perpaduan dan keterangkuman untuk semua rakyat Malaysia.
“Catatan Andrew bertentangan dengan nilai-nilai kami dan kami mengambil tanggungjawab penuh atas kelalaian ini.
“Kami mengutuk sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakhormatan terhadap agama serta berdiri teguh bersama komuniti Muslim. Kepada semua yang terkesan, kami menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas,” menurut kenyataan itu.
Susulan tindakan tersebut, myBurgerLab menamatkan perkhidmatan Andrew berkuat kuasa pada Jumaat.
Pada masa sama, syarikat itu memaklumkan sedang menyemak semula polisi dalaman serta melaksanakan latihan sensitiviti budaya secara mandatori dengan pakar seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan latihan akan dilengkapkan dalam tempoh 30 hari serta diteruskan secara tahunan.
“Kami mengalu-alukan maklum balas anda di https://bit.ly/mblimproves. Kepercayaan diperoleh melalui tindakan. Kami berikrar untuk lebih berwaspada bagi memastikan myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian Malaysia di mana setiap individu berasa dihormati.
“Kami amat menyesal dan dengan rendah hati memohon maaf serta akan membina semula kepercayaan anda. Terima kasih atas sokongan anda,” katanya.
Terdahulu, Andrew menerusi hantaran di X mengkritik undang-undang di Terengganu yang menghukum lelaki Islam ponteng solat Jumaat tanpa alasan munasabah.
Namun, kenyataannya mengundang reaksi ramai yang menyifatkan ia sebagai Islamofobia dan tidak menghormati amalan Islam.
Andrew kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kerana kata-katanya telah menggores perasaan umat Islam.