DUNGUN – Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan di Kilometer 370 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran hentian rehat dan rawat Bukit Besi di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, dari Seri Kembangan, Selangor disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakan menunggang motosikal jenis sama dalam perjalanan ke Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menghadiri program RXZ Members 7.0.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal rakannya sebelum terbalik menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, di Kemaman, seorang lagi penunggang Yamaha RXZ cedera ringan selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh ke kanan lebuh raya sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza.
Kejadian itu berlaku di Kilometer 293.5 LPT2 berhampiran Kijal kira-kira jam 5 pagi, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal mangsa terseret beberapa meter sebelum kedua-dua kenderaan terbakar.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal berusia 19 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya.