WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk menunjukkan kehadirannya bersama pasukan tentera dan polis di jalanan Washington pada Khamis malam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik hos radio Todd Starnes selepas menemu bual beliau.
"Saya akan keluar malam ini - tetapi biarlah rahsia. Saya akan keluar bersama polis dan tentera,” kata Trump kepada Starnes menurut saluran konservatif Newsmax, tempat hos radio itu turut bertugas.
Jurucakap Rumah Putih memaklumkan kepada Newsmax bahawa tindakan itu akan disertai langkah keselamatan, namun butiran lanjut belum diumumkan.
Langkah Trump menggerakkan Pengawal Kebangsaan bagi menangani dakwaan peningkatan jenayah di ibu negara AS dianggap sangat kontroversi, selain meletakkan pasukan polis tempatan di bawah kawalan persekutuan.
Bagaimanapun, statistik polis dan maklumat daripada pejabat pendakwa raya daerah Washington tidak menunjukkan sebarang bukti peningkatan kadar jenayah.
Sejak itu, protes tercetus manakala kelibat anggota Pengawal Kebangsaan semakin ketara di sekitar bandar, termasuk di kawasan tumpuan pelancong yang sebelum ini tidak dikenal pasti sebagai lokasi jenayah atau keganasan. - Bernama