KUALA LUMPUR - Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi contoh kes paling kompleks disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sejarah siasatan kewangan Malaysia.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, ini kerana bilion ringgit telah dipindahkan ke pelbagai negara menggunakan struktur kewangan antarabangsa, syarikat proksi dan rangkaian perantara.
Menurutnya, kejayaan pemulihan aset dalam kes 1MDB bukan sahaja menjadi pencapaian negara, tetapi juga bukti kepada komuniti antarabangsa bahawa kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa kewangan dan kerajaan asing ialah kunci dalam memerangi jenayah kewangan global.
“Skandal berskala besar seperti 1MDB membuktikan bahawa jenayah kewangan tidak mengenal sempadan.
"Oleh itu, keupayaan untuk berkongsi maklumat, memperkukuh jaringan siasatan rentas negara dan mengoptimumkan mekanisme undang-undang antarabangsa adalah teras kejayaan pemulihan aset,” katanya dalam kenyataan.
Beliau sebelum itu hadir dalam sesi pembentangan bertajuk Pemulihan Aset dalam Kes Pengubahan Wang Haram: Kajian Kes Skandal 1MDB yang berlangsung di The Westin Hotel Kuala Lumpur pada Khamis.
Persidangan berprestij itu merupakan anjuran Association of Certified Fraud Examiners (ACFE).
Tambah Mohamad Zamri, sesi ini memberi tumpuan kepada cabaran pemulihan aset rentas sempadan, termasuk peranan kerjasama antarabangsa melalui Mutual Legal Assistance (MLA) serta strategi siasatan kewangan yang digunakan SPRM untuk menjejaki aliran dana dan membongkar rangkaian transaksi kompleks.
"Selain itu tumpuan juga merangkumi tindakan undang-undang dan diplomasi perundangan yang berjaya membantu Malaysia mendapatkan semula sebahagian besar dana yang disalahgunakan," ujarnya.
Persidangan berprestij anjuran Association of Certified Fraud Examiners (ACFE) ini menghimpunkan pakar industri, pengamal undang-undang, ahli akademik serta pihak penguatkuasaan dari seluruh dunia yang diadakan secara bersemuka dan maya bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan pencegahan, pengesanan dan penyiasatan jenayah kewangan serta penipuan korporat.
Turut hadir Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Penganjuran ACFE Fraud Conference Asia-Pacific 2025 bukan sahaja mengangkat Malaysia sebagai hab perbincangan global dalam memerangi penipuan dan rasuah, malah memperkukuh reputasi SPRM sebagai antara agensi penguatkuasaan yang proaktif dalam menangani jenayah kewangan bertaraf antarabangsa.