JKDM tumpu kes impak tinggi, rampasan cecah RM1.3 bilion

Iklan
Anis Rizana

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1.3 bilion membabitkan 4,438 kes dalam tempoh tujuh bulan tahun ini sejak Januari.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah rampasan itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lepas dengan jumlah RM1 bilion juta biar pun jumlah lebih banyak iaitu 4,528 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun jumlah cubaan penyeludupan yang berjaya dipatahkan berkurang sebanyak 90 kes bersamaan 1.99 peratus, tetapi nilai keseluruhan rampasan telah meningkat iaitu sebanyak RM281.93 juta bersamaan 28.02 peratus.

"Sebagai makluman, pada tahun 2025, strategi JKDM telah beralih daripada pendekatan berasaskan output (bilangan kes) kepada pendekatan berasaskan outcome (nilai, duti dan cukai).

Iklan

"Tumpuan utama diberikan kepada kes-kes berimpak tinggi seperti kes melibatkan kontena yang berskala besar dan bernilai tinggi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pendekatan ini bertujuan untuk memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan memastikan hasil negara dilindungi dengan lebih menyeluruh.

Iklan

Tambah Anis, naratif baharu yang dibawa oleh JKDM ini menggambarkan satu transformasi dalam kaedah penguatkuasaan yang lebih strategik, terancang dan berpaksikan impak.

"Pendekatan ini juga menegaskan kepada masyarakat bahawa kejayaan jabatan tidak lagi hanya diukur daripada jumlah kes semata-mata, sebaliknya dinilai melalui sejauh mana penguatkuasaan berjaya menyekat ketirisan hasil negara serta melumpuhkan sindiket penyeludupan yang bersifat sistematik dan berprofil tinggi," ujarnya.

Jelas beliau, dalam tempoh tujuh bulan ini juga, lima negeri yang berjaya mencatatkan nilai perolehan barang rampasan termasuk duti dan cukai tertinggi ialah JKDM Selangor sebanyak RM196.24 juta, diikuti JKDM Johor (RM174.83 juta), JKDM Sarawak (RM139.93 juta), JKDM Sabah (RM90.24 juta) serta JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (RM78.24 juta).

"JKDM sentiasa komited untuk meningkatkan kutipan hasil secara berterusan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, demi menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Kata beliau, JKDM merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan

Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta agensi-agensi kerajaan lain selaku rakan strategik yang sentiasa bersama dalam memperkukuh usaha penguatkuasaan undang-undang.