KUANTAN - Pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang terlibat kemalangan pada Khamis musnah sepenuhnya.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, dalam nahas itu, anak kapal yang terlibat telah berjaya melakukan prosedur kecemasan dengan selamat keluar daripada pesawat.
Menurutnya, susulan kejadian, Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan.
"Landasan dijangka akan dibuka semula menjelang tengah hari pada Jumaat," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan TUDM Kuantan di sini pada Jumaat.
Muhamad Norazlan berkata, insiden berlaku ketika pesawat pejuang berkenaan sedang berlepas untuk melaksanakan latihan penerbangan rutin.
"Dalam nahas itu, pesawat musnah sepenuhnya manakala anak kapal yang terlibat selamat.
"Juruterbang, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dilaporkan retak tulang dan luka bakar tahap kedua pada tumit kiri.
"Jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, mengalami lebam di atas paha kiri dan luka melecet pada lengan," katanya lagi.
Beliau berkata, kedua-dua anak kapal telah diberikan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan telah dibenarkan keluar kira-kira jam 2 pagi.
"Mereka kini ditempatkan di Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Kuantan," katanya.
Terdahulu, beliau sendiri telah turun ke lokasi kejadian pagi ini untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung insiden tersebut dan melawat dua pegawai berkenaan.
"Satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
"Siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM," katanya.