SHAH ALAM – Suami beragama Islam masih boleh memfailkan nusyuz terhadap pasangannya di Mahkamah Syariah meskipun Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan perbuatan lelaki menggoda isteri orang telah dimansuhkan pada Disember 2023.
Peguam jenayah, Alif Tarmizi berkata, bagi mereka yang bukan beragama Islam, saman sivil boleh difailkan di bawah peruntukan undang-undang keluarga sekiranya terdapat lelaki lain yang cuba mengganggu rumah tangga hingga mendorong si isteri curang.
“Sebelum ini, kesalahan menggoda isteri orang termaktub di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, tetapi ia dimansuhkan pada 15 Disember 2023 atas alasan tidak berperlembagaan kerana mendiskriminasi jantina, sekali gus bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Baru-baru ini, ada kes kematian di Negeri Sembilan di mana mangsa dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isteri suspek, membuatkan suspek berang lalu bertindak menikam mangsa.
“Dalam keadaan seperti ini, saya menasihatkan orang ramai supaya terus memfailkan kes dan dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berpandangan bahawa jika kes membabitkan pasangan suami isteri beragama Islam, pertuduhan masih boleh dikenakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri.
Berpandukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), jelasnya, perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga diklasifikasikan sebagai satu kesalahan.
“Seksyen 36 menyentuh mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, manakala Seksyen 37 pula berkaitan kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
“Selain itu, Seksyen 38 menetapkan kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai dan mengabaikan kewajipan sebagai pasangan berkahwin,” ujarnya.
Pada 11 Ogos lalu, seorang duda maut selepas ditikam dalam kejadian di Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati motif kejadian kerana mangsa dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada suspek.
Pada Selasa, tertuduh, Zulazren Zakariah, 31, yang bekerja sebagai tukang masak, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kerana menyebabkan kematian Muhammad Amirul Rashid Mohd Nizar, 28.