Dua beradik lemas dalam kolam tapak binaan

Iklan
Dua beradik lelaki berusia lapan dan sembilan tahun ditemui lemas dalam kolam tadahan air di tapak pembinaan Taman Chemor Ria, Ipoh. Foto hiasan

IPOH - Dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan sembilan tahun ditemui lemas dalam sebuah kolam tadahan air di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar bermain berhampiran tapak pembinaan bersebelahan rumah sewa mereka sebelum ditemui di dalam kolam tadahan air oleh orang awam.

Iklan

“Pemeriksaan awal mendapati kawasan tapak pembinaan itu tidak berpagar serta tiada papan tanda larangan dipamerkan, manakala bedah siasat di Jabatan Forensik HRPB mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terlibat.

Iklan

Katanya, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan anak-anak, khususnya di kawasan berisiko seperti sungai, kolam, lombong atau tapak pembinaan.

Beliau turut mengingatkan pihak pemaju dan kontraktor supaya mematuhi peraturan keselamatan termasuk pemasangan pagar serta papan tanda amaran bagi mengelakkan tragedi berulang.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P. Munesuwari di talian 016-5921325 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.