'Saya tidak akan tunduk sebarang tekanan' - Peguam ibu Zara Qairina

Iklan
Gambar yang tular memaparkan Shahlan (dua dari kanan) bersama Hajiji (tiga dari kiri) dan Armizan (dua dari kanan) serta Ram (tengah).

KOTA KINABALU – Salah seorang peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, tampil memberi penjelasan selepas gambarnya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali tular di media sosial.

Shahlan Jufri berkata, gambar berkenaan adalah rakaman lama pada Jun 2025 dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Iklan
Iklan

“Cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.

“Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Zara,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya pada malam Rabu.

Iklan

Beliau menjelaskan, perkara utama yang dituntut dalam melaksanakan proses perundangan selaku peguam kepada ibu Zara Qairina telah berjaya dan sedang dalam tindakan.

“Untuk rekod, perkara-perkara utama telah pun dilaksanakan selepas pelantikan saya selaku peguam Zara seperti penggalian semula kubur telah berjaya, pelaksanaan bedah siasat telah berjaya, berada di bilik bedah siasat selama lebih lapan jam atas kehendak anak guam.

Iklan

“Kami juga memohon agar pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun dan permohonan inkues dibenarkan serta sedang berjalan,” katanya.

Sehubungan itu, Shahlan menegaskan beliau sebagai peguam bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi menegakkan proses keadilan serta integriti undang-undang.

“Saya tidak akan tunduk pada sebarang tekanan atau cubaan memesongkan dan mengganggu perjuangan ini yang berlaku sejak daripada hari pertama saya dilantik sebagai peguam Zara,” tegasnya.

Terdahulu, gambar tular berkenaan turut memaparkan salah seorang peguam mewakili tertuduh, Datuk Ram Singh, yang mencetuskan polemik dalam kalangan warga maya.