94 PATI ditahan, Imigresen gempur taman hiburan, kilang dan pasar raya

Iklan
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan pada Isnin dan Selasa lalu.

PUTRAJAYA – Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah taman hiburan, kilang perindustrian dan pasar raya di Selangor pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pertama dijalankan di sebuah taman hiburan di Bandar Sungai Long, Kajang pada Isnin.

Iklan
Iklan

“Kita menerima aduan awam berkaitan kawasan tarikan pelancongan itu yang menggajikan pekerja warga asing tanpa pas sah, sebelum melakukan risikan selama dua minggu.

“Dalam serbuan jam 1.40 petang itu, seramai 123 individu diperiksa terdiri daripada 52 warga asing dan 71 warga tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Zakaria berkata, seramai 46 warga asing ditahan termasuk 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand berusia 23 hingga 47 tahun.

Kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut

Iklan

“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Millenium Beranang untuk siasatan lanjut.

“Sebanyak empat Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, operasi diteruskan keesokan harinya di sebuah kilang perindustrian di Balakong serta sebuah pasar raya di Puchong.

“Dalam operasi bermula jam 11.45 pagi itu, 64 individu diperiksa dan 48 PATI ditahan melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia 18 hingga 49 tahun.

“Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semasa serbuan terdapat PATI cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun usaha itu berjaya digagalkan oleh pegawai Imigresen.

“Tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung majikan yang menggajikan warga asing tanpa memiliki dokumen sah,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalah guna pas.

“Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap majikan yang menggaji serta melindungi PATI,” tegasnya.