The Sailors azam tampil aksi sengit berdepan JDT

Iklan
Rankovic (kiri) dan Datkovic ketika sidang akhbar.

PENGENDALI Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic menegaskan pasukannya tidak gentar untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Rankovic berkata, biarpun rekod pertemuan sebelum ini tidak memihak kepada skuad The Sailors, namun pertemuan dengan skuad Harimau Selatan kali ini bakal menjadi medan sebenar untuk menilai kemampuan barisan pemain, selepas tewas dalam tiga aksi persahabatan terdahulu.

Iklan
Iklan

“Kami sudah bermain tiga perlawanan persahabatan, ya, kami tewas, tetapi kali ini ia sesuatu yang berbeza.

“JDT pula telah mara jauh dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit), tetapi musim ini adalah kejohanan yang berbeza. Tidak adil untuk membandingkan pasukan musim ini dengan musim lalu kerana banyak perubahan telah berlaku, termasuk dari segi jurulatih dan pemain.

Iklan

“Justeru, saya mengharapkan suasana yang berbeza kerana motivasi pemain kini tinggi, terutamanya apabila berdepan pasukan besar seperti JDT,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan.

Sementara itu, pertahanan The Sailors, Toni Datkovic mengakui perlawanan menentang JDT sentiasa mencabar kerana skuad Harimau Selatan memiliki kualiti pemain yang mantap.

Iklan

Justeru katanya, Rankovic dijangka menurunkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan menentang JDT kali ini.

“Kami tahu JDT pasukan terbaik di rantau ini. Tetapi sebagai pemain, kami perlu turun dengan mentaliti positif dan fokus kepada permainan kami sendiri.

“Apa yang penting, kami akan berikan segalanya di atas padang, sama ada dalam menyerang mahupun bertahan,” ujarnya.