Ismail Sabri, KJ tiada kaitan dengan serangan anak - Rafizi

Iklan
Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan kononnya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, tuduhan tersebut merupakan cubaan jahat pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar.

Iklan
Iklan

“Serangan terhadap anak saya minggu lalu diikuti mesej ugutan yang mahukan saya diam. Timbul persoalan, siapa yang mahu saya diam dan mengenai isu apa.

“Ada yang cuba kaitkan dengan Ismail Sabri atau KJ. Saya tidak menyelidik atau menyentuh kedua-duanya, ini cubaan jahat untuk mengalihkan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Rafizi mendedahkan bahawa seminggu sebelum insiden berkenaan, beliau telah bertemu pemberi maklumat berhubung satu skandal yang sedang ditelitinya.

Beliau berkata, selepas kenyataan itu dibuat, muncul pula tuduhan tidak berasas yang dikaitkan dengan dirinya.

Iklan

“Kononnya saya sedang meneliti kes melibatkan Ismail Sabri berkaitan wang yang dicuci di luar negara. Tuduhan terkini pula mendakwa saya menyiasat kes KJ dan projek ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan.

“Kedua-dua tuduhan ini tidak benar,” tegasnya.

Katanya, maklumat sebenar yang diterima adalah berkaitan urus niaga sebuah syarikat, namun ia tiada kena-mengena dengan Ismail Sabri, Khairy atau mana-mana ahli politik lain.

"Pelbagai berita palsu yang disebarkan jelas bertujuan mengaburi pandangan rakyat serta mengalih fokus siasatan.

“Saya menyokong penuh tindakan Ismail Sabri membuat laporan polis berhubung fitnah ini. Langkah itu wajar supaya perkara ini dapat disiasat pihak berkuasa,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam perkongsiannya di Facebook, Rafizi memaklumkan seorang lelaki telah mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada jam 1.45 tengah hari, Rabu.

Dakwanya, semakan menunjukkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan beliau berpandangan bahawa individu terbabit mungkin telah merancang serangan berkenaan lebih awal.