PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman mendedahkan wujud pihak tertentu yang menggunakan namanya untuk mendapatkan habuan daripada individu di luar kementerian.
Awang Alik berkata, maklumat mengenai perkara itu diperoleh daripada pihak luar dan beliau memandang serius tindakan berkenaan kerana mencemarkan imej peribadi serta reputasi KDN.
“Yang ini saya pandang agak serius. Saya dengar di luar sana, saya dapat maklumat nama saya digunakan untuk mendapatkan habuan daripada pihak-pihak tersebut.
“Mungkin kalau nama saya dah keluar, mungkin nama menteri, nama timbalan menteri, nama IGP juga akan terlibat.
"Tapi saya belum dengar lagi yang itu, yang saya dengar setakat ini nama saya dipergunakan kononnya saya minta hubungi seseorang untuk dapatkan sesuatu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini Rabu.
Menurut Awang Alik, dakwaan kononnya beliau meminta seseorang dihubungi bagi mendapatkan bayaran adalah tidak benar sama sekali.
“Tidak. Benda ini tidak pernah berlaku. Saya tak kenal sesiapa, saya pun tidak pernah keluar nak minum dengan sesiapa yang saya tak kenal. Tak ada,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran tegas kepada pelaku sekiranya terbukti ada pihak yang menggunakan namanya.
“Tolong maklum bahawa kalau ada yang berlaku, tolong maklumkan kepada pegawai-pegawai kita, hentikan. Sebab kali ini saya tengah siasat ya. Kalau saya dapat tangkap yang ini, out,” tegasnya.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan kerana menjejaskan nama baik kementerian serta integriti pentadbiran.
“Yang ini sangat mencemarkan nama kita, nama kementerian kita dan nama saya. Jadi saya tidak boleh buat kompromi dengan perkara seperti ini.
"Kita buat kerja, kita telah diberi amanah, kita buat amanah kita dengan baik dan jangan cemarkan amanah yang telah kita diberikan,” katanya.