Segelintir pembela tidak sedar mereka juga pembuli!

Iklan
Perlu diingat membela bukan bermakna menghukum sebelum diadili, menyokong bukan bermaksud boleh menghina. Foto hiasan/123RF

ADAKALANYA, usaha membela mangsa buli menjadi pukulan pedang bermata dua apabila pembela itu sendiri tidak sedar bahawa dia sedang menabur benih penderaan dalam senyap.

Dalam gelombang simpati kepada mangsa, kita menyaksikan ada segelintir individu yang tampil sebagai ‘wira kebaikan’, mengecam kekejaman dan menuntut hukuman setimpal.

Iklan
Iklan

Namun dalam keghairahan itu, mereka lupa bahawa suara yang dilaungkan tanpa empati dan tanpa perspektif penuh boleh mencetuskan bentuk buli baharu sama ada di alam nyata atau alam maya.

Mengadili tanpa fakta adalah dosa sosial. Contohnya, viral video di media sosial memperlihatkan seorang pelajar menangis kerana dituduh sebagai dalang buli, sedangkan siasatan akhir membuktikan dia juga mangsa tekanan rakan sebaya.

Iklan

Malangnya, reputasinya sudah terjejas akibat kecaman tidak berasas, meninggalkan parut mental yang lebih mendalam daripada kejadian sebenar.

Selain itu, skala solidariti yang dilabel ‘kesat’ boleh menjerut. Hashtag beremosi, perkataan pedas dan sindiran tajam terhadap suspek pelaku tanpa ruang penjelasan sekali gus menukar niat murni menjadi penghakiman kejam.

Iklan

Hakikatnya, ia bukan lagi pembelaan tetapi bullying by proxy, kononnya pembela mangsa buli tetapi akhirnya bertukar menjadi pelaku.

Perlu diingat membela bukan bermakna menghukum sebelum diadili, menyokong bukan bermaksud boleh menghina.

Penyelesaian sebenar adalah membantu mangsa melalui saluran yang betul, melibatkan pihak berwajib serta memberi peluang kepada semua pihak agar versi cerita mereka didengari.

Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan sepatutnya menyediakan saluran aduan selamat dan rahsia, bukan sahaja untuk mangsa tetapi juga mereka yang dipersalahkan tanpa bukti.

Setiap tuduhan wajib diteliti secara berimbang dan diakhiri dengan pemulihan, bukan pemusnahan.

Masyarakat pula perlu bertindak dengan hikmah. Membela mangsa bukan untuk publisiti media sosial tetapi menyemai keadilan berlandaskan fakta dan belas kasihan.

Tanpa itu, kita semua berisiko menjadi pembuli dengan nama simpati tetapi berselindung di sebalik emosi.

Tiada ruang untuk retorik semberono. Sikap bertimbang rasa lebih mulia daripada simpati membuta tuli!