RISDA Fleet perkukuh kedudukan sebagai penyedia pengangkutan halal

Iklan
Majlis penyerahan sijil disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Dr. Mohamad Kori Jusoh kepada Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, hari ini.

SHAH ALAM - Anak syarikat Kumpulan RISDA Holdings, RISDA Fleet Sdn Bhd (RFSB) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan logistik halal negara apabila menerima Pensijilan Logistik Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi operasi pengangkutan syarikat itu.

Majlis penyerahan sijil berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Dr. Mohamad Kori Jusoh kepada Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dengan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, hari ini.

Iklan
Iklan

Pensijilan itu merangkumi Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal khususnya bagi pengangkutan Minyak Sawit Mentah (CPO) mengikut piawaian Malaysia MS2400-1:2019.

Piawaian tersebut menekankan aspek kebersihan, keselamatan serta pematuhan syariah yang ketat dalam operasi logistik halal.

Iklan

Sebanyak 18 lori tangki milik RFSB menerima pensijilan pada peringkat awal ini, sekali gus membuktikan komitmen syarikat terhadap pengurusan halal yang menyeluruh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Haji Wang; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings, Muhammad Adnin Bakir Abu Bakar; Pengerusi RFSB, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz serta Ketua Pegawai Eksekutif RFSB, Mohd Zulkifli Hassan.

Iklan

Dalam satu kenyataan media, RFSB turut merancang mendaftarkan 200 lagi lori bagi mendapatkan Pensijilan Logistik Halal pada masa terdekat, selain memperluas skop kepada segmen pengangkutan sejuk beku melalui lori khas (frozen bonded lorry) dan penggunaan kontena halal.

Langkah strategik ini selaras dengan usaha RFSB menyokong pertumbuhan industri halal negara yang dianggarkan bernilai RM61.79 bilion pada tahun 2024.

Ia sekali gus diyakini mampu memperkukuh eksport halal Malaysia selain menjadikan RFSB sebagai peneraju transformasi logistik halal di peringkat domestik dan antarabangsa.